Seorang lagi Nabi Allah yang diceritakan
dari kecil di dalam al-Qur'an ialah Isa. Baginda diutus kepada kaum Bani Israil
dengan kitab Injil yang diturunkan sebelum al-Qur'an.
Di dalam al-Qur'an, Nabi Isa disebut
dengan empat panggilan iaitu Isa,Isa
putera Mariam, putera
Mariam, dan al-Masih.
Ibunya seorang yang sangat dimuliakan
Allah. Dia memilihnya di atas semua perempuan di semua alam. Firman-Nya,
"Dan ketika malaikat-malaikat berkata, 'Wahai Mariam, Allah memilih kamu,
dan membersihkan kamu, dan Dia memilih kamu di atas semua perempuan di semua
alam'" (3:42).
Mariam, ibu Nabi Isa, telah menempuh satu
ujian yang amat berat daripada Allah. Dia dipilih untuk melahirkan seorang Nabi
dengan tanpa disentuh oleh seseorang lelaki. Dia adalah seorang perempuan yang
suci.
Kelahiran
Kelahiran Nabi Isa merupakan suatu
mukjizat kerana dilahirkan tanpa bapa. Kisahnya diceritakan di dalam al-Qur'an.
Di sini, ceritanya bermula dari kunjungan malaikat kepada Mariam atas perintah
Allah. Ketika itu, malaikat menyerupai manusia dengan tanpa cacat. Kemunculan
malaikat membuat Mariam menjadi takut lalu berkata,
"Aku berlindung pada Yang Pemurah
daripada kamu, jika kamu bertakwa (takut kepada Tuhan)!'
Dia (malaikat) berkata, 'Aku hanyalah
seorang rasul yang datang daripada Pemelihara kamu, untuk memberi kamu seorang
anak lelaki yang suci.'" (19:18-19)
Pada ayat yang lain, diceritakan bahawa
malaikat yang datang itu telah memberi nama kepada putera yang bakal
dilahirkan. Nama itu diberi oleh Allah, dan dia (Isa) akan menjadi terhormat di
dunia dan akhirat sambil berkedudukan dekat dengan Tuhan. Ayatnya berbunyi:
"Wahai Mariam, Allah menyampaikan
kepada kamu berita gembira dengan satu Kata daripada-Nya, yang namanya
al-Masih, Isa putera Mariam, terhormat di dunia dan di akhirat, daripada
orang-orang yang didekatkan." (3:45)
Kemudian Mariam bertanya,
"Bagaimanakah aku akan ada seorang
anak lelaki sedang tiada seorang manusia pun menyentuhku, dan bukan juga aku
seorang jalang?" (19:20)
Malaikat menjawab,
"Dia (Allah) berkata, 'Begitulah;
Pemelihara kamu telah berkata, 'Itu mudah bagi-Ku; dan supaya Kami membuat dia
satu ayat (tanda) bagi manusia, dan satu pengasihan daripada Kami; ia adalah
perkara yang telah ditentukan'" (19:21).
Maka lahirlah Isa putera Mariam lebih enam
ratus tahun sebelum Nabi Muhammad dilahirkan. Allah membuat Nabi Isa dan ibunya
satu ayat (tanda) bagi manusia, iaitu tanda untuk menunjukkan kebesaran-Nya (23:50).
Allah juga menyatakan bahawa Nabi Isa
adalah seperti Adam, walaupun Adam diwujudkan tanpa ibu dan bapa. Kesamaan
mereka berdua adalah pada ciptaan. Kedua-duanya dicipta daripada tanah (3:59).
Itu menunjukkan mereka adalah manusia biasa, kerana manusia dicipta daripada
tanah.
Kerasulan dan Kenabian
Isa adalah seorang Nabi dan juga seorang
Rasul. Baginda dan beberapa orang rasul telah dilebihkan Allah daripada
rasul-rasul lain. Ada yang Dia berkata-kata kepadanya, ada yang Dia menaikkan
darjat, dan bagi Isa, Dia memberi bukti-bukti yang jelas serta mengukuhkannya
dengan Roh Suci. Firman-Nya:
"Dan rasul-rasul itu, sebahagian Kami
melebihkan di atas sebahagian yang lain. Sebahagian ada yang kepadanya Allah berkata-kata,
dan sebahagian Dia menaikkan darjat. Dan Kami memberikan Isa putera Mariam
bukti-bukti yang jelas, dan Kami mengukuhkan dia dengan Roh Qudus (Suci)."
(2:253)
Namun begitu, manusia dilarang oleh Allah
untuk membeza-bezakan antara para rasul dan Nabi. Larangan itu berbunyi,
"Katakanlah, 'Kami percaya kepada
Allah, dan apa yang diturunkan kepada kami, dan apa yang diturunkan kepada
Ibrahim, dan Ismail, dan Ishak, dan Yaakub, dan puak-puak, dan apa yang diberi
kepada Musa, dan Isa, dan apa yang diberi kepada Nabi-Nabi daripada Pemelihara
mereka. Kami tidak membeza-bezakan seorang pun antara mereka, dan kepada-Nya
kami muslim.'" (2:136)
Akibat membeza-bezakan Nabi atau Rasul
dapat dilihat pada hari ini, iaitu Nabi Isa dipercayai oleh sesetengah pihak
sebagai Tuhan atau anak Tuhan, dan Nabi Muhammad, dianggap macam Tuhan, yang
berhak membuat hukum agama.
Ajaran
Oleh kerana Isa seorang Nabi baginda
diberi sebuah Kitab, Injil, yang mengandungi petunjuk dan cahaya untuk menjadi
pegangan Bani Israil. Selain menyuruh Bani Israil menyembah Allah dengan
mentaati Injil, baginda mengesahkan kitab Taurat yang diturunkan sebelumnya.
Dua firman Allah menjelaskannya di sini, berbunyi:
"Dan Kami mengutus, menyusuli
jejak-jejak mereka, Isa putera Mariam, dengan mengesahkan Taurat yang
sebelumnya; dan Kami memberinya Injil, di dalamnya petunjuk dan cahaya,"
(5:46) dan,
"Aku (Isa) hanya mengatakan kepada
mereka apa yang Engkau memerintahkan aku dengannya: 'Sembahlah Allah,
Pemelihara aku dan Pemelihara kamu.'" (5:117)
Turut disebut di dalam Injil (dan Taurat)
ialah berita mengenai kedatangan seorang Nabi berbangsa Arab, atau ummiy (7:157),
dan janji dikurniakan Taman atau Syurga bagi orang-orang yang berperang di
jalan Allah (9:111). Janji itu juga didapati di dalam Taurat dan al-Qur'an.
Ketika baginda diutus, manusia sedang
berselisih dalam hal agama. Maka kedatangannya adalah juga untuk memperjelaskan
apa yang diperselisihkan. Firman Allah:
"dia (Isa) berkata, 'Aku datang
kepada kamu dengan kebijaksanaan, dan supaya aku memperjelaskan kepada kamu
sebahagian apa yang dalamnya kamu memperselisihkan; maka kamu takutilah Allah,
dan taatlah kepadaku.'" (43:63)
Baginda juga memberitahu tentang
kedatangan seorang rasul selepas baginda, yang namanya akan dipuji. Ayat yang
mengisahkannya berbunyi:
"Wahai Bani Israil, sesungguhnya aku
(Isa) rasul Allah kepada kamu, mengesahkan Taurat yang sebelum aku, dan memberi
berita gembira dengan seorang rasul yang akan datang selepas aku, namanya ahmad (dipuji).”
(61:6)
0 komentar:
Posting Komentar